Isnin, 13 Oktober 2008

Najib, Muhyiddin dahului

Najib, Muhyiddin dahului

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak setakat ini menjadi calon tunggal untuk mengisi jawatan Presiden UMNO apabila 28 bahagian UMNO yang telah selesai bersidang memberikan sokongan padu dengan mencalonkan beliau ke jawatan itu.

Sebanyak 28 bahagian UMNO termasuk 25 yang bermesyuarat hari ini memberikan pencalonan yang tidak berbelah bagi kepada Najib untuk memimpin UMNO.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO itu memerlukan 30 peratus pencalonan atau 58 daripada 191 bahagian UMNO untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Ini bermakna Najib hanya memerlukan 30 pencalonan lagi untuk melepasi kuota kelayakan bagi bertanding jawatan Presiden.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului dua lagi pencabar dengan 23 pencalonan setakat ini.

Setelah mendapat tiga pencalonan semalam, hari ini Muhyiddin meraih 20 lagi pencalonan.

Bahagian yang mencalonkan Muhyiddin hari ini ialah Shah Alam, Cheras, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Pontian, Mersing, Pasir Gudang, Pagoh dan Batu Pahat.

Turut mencalonkannya ialah Kalabakan, Bagan Datoh, Semporna, Kuantan, Rompin, Bagan Serai, Taiping, Kampar, Jelebu, Jempol dan Rasah.

Naib Presiden UMNO itu memerlukan 38 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Untuk layak, Muhyiddin memerlukan 15 lagi pencalonan.

Sementara itu, dua lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menerima tiga pencalonan dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula memperoleh dua pencalonan.

Mohd. Ali yang merupakan Naib Presiden UMNO menerima pencalonan daripada UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Kota Melaka dan Parit Buntar, manakala Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO menerima pencalonan daripada UMNO Bahagian Beruas dan Subang.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menawarkan diri merebut jawatan Presiden UMNO setakat ini masih belum menerima sebarang pencalonan.

Begitu juga dengan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang sebelum ini menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Tiga lagi bahagian UMNO yang sepatutnya bersidang hari ini iaitu Silam, Sipitang dan Tawau menangguhkan mesyuarat masing-masing.

Semalam, Najib dan Muhyiddin memperoleh pencalonan daripada tiga bahagian yang telah pun menyempurnakan persidangan masing- masing iaitu Machang, Besut dan Kimanis.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jauh meninggalkan calon-calon lain apabila menerima 25 pencalonan yang sekali gus melayakkan beliau melepasi syarat kelayakan bertanding.

Senarai itu diikuti Datuk Mohd. Shafie Apdal dengan 14 pencalonan, manakala Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menerima 13 pencalonan. Pencabar lain iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memperoleh sembilan pencalonan, Datuk Seri Syed Hamid Albar (6), Datuk Seri Dr. Rais Yatim (5), diikuti Tan Sri Mohd. Isa Samad (4) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (3).

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis masing-masing menerima dua pencalonan manakala Tan Sri Annuar Musa hanya mendapat satu pencalonan.

Jumlah pencalonan yang diperlukan untuk melayakkan diri bertanding jawatan Naib Presiden ialah 19 pencalonan.

Persaingan jawatan pergerakan Wanita dan Pemuda juga menyaksikan beberapa calon yang menawarkan diri untuk bertanding melepasi had kelayakan.

Bagi calon Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz layak bertanding apabila mendapat 48 pencalonan. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil setakat ini hanya meraih 12 pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir pula menjadi calon pertama layak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan memperoleh 39 pencalonan.

Kuota bagi bertanding jawatan itu ialah 38 pencalonan sama seperti Pergerakan Wanita.

Pencabar terdekat Mukhriz, Khairy Jamaluddin pula setakat ini mendapat 18 pencalonan, sementara bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meraih lapan pencalonan.


Sumber: Utusan Malaysia 13.10.2008