Isnin, 13 Oktober 2008

Pencalonan Umon

UMNO mantap, relevan jika diterajui Najib-Muhyiddin

BATU PAHAT 12 Okt. - UMNO akan bertambah mantap dan terus relevan sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin digabungkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan UMNO Mac depan.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kedua-dua tokoh itu kaya dengan idea serta mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan yang wajar digabungkan bagi menerajui UMNO dan negara.

Beliau yakin Najib dan Muhyiddin mempunyai formula lebih berkesan untuk menggariskan strategi yang dapat mengembalikan kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika 'gabungan' itu direalisasikan.

Kali ini orang UMNO perlu memilih pucuk pimpinannya berdasarkan gabungan ini kerana ia turut menjadi harapan rakyat, katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di sini hari ini.

Pada persidangan itu, UMNO bahagian tersebut turut mencalonkan Najib selaku Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut dicadangkan merebut jawatan Presiden oleh ahli UMNO cawangan Kampung Merdeka, Abdullah Ismail hanya memperoleh 17 undi daripada lebih 500 perwakilan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal pula dicalonkan sebagai Naib Presiden UMNO.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Badaruddin Amiruddin dicalonkan untuk jawatan tersebut bergandingan dengan Datuk Mohamad Aziz yang dicalonkan sebagai Timbalan Pengerusi Tetap.

Mohd. Puad yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat pula berjaya mempertahankan jawatan ketua bahagian itu dengan menang tanpa bertanding.

Beliau berkata, Najib dan Muhyiddin dapat bekerjasama dalam membangun dan memajukan parti dan negara.

"Ini selaras dengan tuntutan ahli-ahli UMNO sendiri yang mahukan mereka bekerjasama," katanya.

Beliau melahirkan rasa bangga terhadap para perwakilan bahagian Batu Pahat kerana telah mencalonkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Muhyiddin sebagai timbalannya.

"Ini menunjukkan perwakilan faham mesej bahawa kali ini kita bukan memilih gabungan berasaskan emosi, tetapi atas kemampuan dan kebolehan mereka melaksanakan tanggungjawab," katanya.

Mengenai peralihan kuasa, Mohd. Puad berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO membuktikan beliau amat memahami kehendak akar umbi.

"Ini juga selaras dengan mesyuarat agung khas yang telah diadakan oleh UMNO Bahagian Batu Pahat baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, UMNO bahagian tersebut turut mencalonkan 25 nama untuk merebut jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada persidangan perwakilan Mac depan.

Mereka termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad.

sumber: Utusan Malaysia 13.10.2008