Najib, Muhyiddin terima dua pencalonan terawal
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pencalonan awal apabila dua bahagian Umno mula bersidang hari ini, masing-masing untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti, Mac depan. Mesyuarat Umno Bahagian Kimanis di Sabah dan Umno Bahagian Machang di Kelantan adalah bahagian yang pertama daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang mengadakan mesyuarat perwakilan mereka. Najib yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri semalam menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan itu Rabu lalu.
Ismail Bangsawan tarik diri tanding Presiden
KANGAR: Pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim, menarik balik hasratnya bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti Mac depan, kira-kira 24 jam selepas menawarkan diri untuk berbuat demikian. Keputusan itu dibuat Ismail yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Arau, selepas mengambil kira pelbagai maklum balas termasuk kritikan diterima sepanjang tempoh 24 jam selepas pengumumannya semalam. Ismail atau lebih dikenali sebagai 'Mail Bangsawan' berkata selepas berita mengenai hasratnya bertanding disiarkan akhbar, ramai rakan seperjuangan dalam Umno terutama dari Perlis menghubunginya.
Muhyiddin nafi bentuk pakatan dengan Najib
SEREMBAN: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan petang ini beliau membentuk pakatan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bertanding dua jawatan tertinggi Umno pada pemilihan parti, Mac depan. Beliau sekali gus menyangkal dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Port Dickson, kira-kira tiga bulan lalu, tetapi menganggapnya sebagai baik bagi membayangkan wujud keserasian di antara mereka berdua. Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri anjuran ahli Umno di sini.
Pemuda Jerlun calonkan Mukhriz, Razali
ALOR STAR: Pemuda Umno Bahagian Jerlun yang bermesyuarat petang ini sebulat suara mencalonkan Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Sementara Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dicalonkan untuk merebut jawatan naib ketua pergerakan itu pada pemilihan parti, Mac depan
Puteri Padang Serai calonkan Asmalina, Shahanim
ALOR STAR: Puteri Umno Bahagian Padang Serai yang bermesyuarat hari ini sebulat suara mencalonkan Datin Asmalina Ismail untuk bertanding jawatan Ketua Puteri Umno Malaysia. Bahagian itu juga mencalonkan Shahanim Mohamad Yussof juga dengan sebulat suara bagi jawatan Naib Ketua Puteri.
Puteri Baling calonkan Bibi Sharliza, Shahanim
ALOR STAR: Puteri Umno Bahagian Baling petang ini sebulat suara mencalonkan Bibi Sharliza Mohd Khalid untuk jawatan Ketua Puteri Umno Malaysia. Bagi jawatan Naib Ketua Puteri, bahagian itu mencalonkan Shahanim Mohamad Yussof, juga dengan sebulat suara.
Sumber: Berita Harian Jumaat 10.10.2008

